THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

waktu malaysia

03 April 2009

Guru Oh Guru

Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal?

" Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali,jika kau tahu apa yang dicari."

~ Umar al-Khattab

Memperkasa Guru Sebenar Guru Dalam Membangun Diri Menunaikan Amanah Guru Mengajar Murid Belajar

Mengenal dan menilai diri dari aspek profesionalisme dan profesionaliti

Antara keunggulan dan realiti wujud ruang (jihad) membangunkan potensi diri

Antara iman, amal dan bual, mana satu menjadi bekal?

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

Memenuhi tuntutan Guru Mengajar Murid belajar

"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh

aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat

kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.

Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan

sekerja.

"Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang
terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang
pekerjaan itu.
Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan
mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion"

(Omar Hashim,1993).

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:

punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif

hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid

kenal, hormati dan percayai murid-murid

mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis

menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya

menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran

hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:

melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru

berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman

adil dalam menilai dan menggred

fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran

bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran

seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya

sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid

merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran

secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan

menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.



Terhadap Disiplin:

seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar

seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan

juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya

aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya

menjadi ahli kepada komuniti yang belajar

bina dan mengekalkan perhubungan profesional

bekerja dalam organisasi sekolah yang luas


Secara Peribadinya:

tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi

berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.


Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?

Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek \
i) Diri Peribadi
2) Organisasi
3) Iklim dan
4)Budaya Kerja.

Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.

Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-masing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.

Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yanglain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka
kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita
dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.

Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba,
fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-
baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan
mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang
dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti
melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga
menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah
menjadi "warisan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa.

Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar"
dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi
kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah
membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi
guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang
membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan
bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya
ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi
seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara'atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada
mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu
tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai
'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.
Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit
pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan
masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat
memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu
dan layu?"ٱ

0 comments: